JHKK - Portal Rasmi

JABATAN HAL EHWAL KORPORAT & KUALITI
CORPORATE & QUALITY AFFAIRS DEPARTMENT

MAJLIS RAMAH MESRA UMP INDUSTRI

Kuala Lumpur, 25 Ogos – Lebih 50 pengamal industri dari seluruh Malaysia menyertai Program Ramah Mesra Bersama Industri yang mampu mengeratkan hubungan kerjasama di antara universiti dengan industri di samping meninjau prospek kolaborasi dalam bidang pendidikan, penyelidikan yang berpotensi untuk dimanfaatkan bersama.

Dalam majlis ini, Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim berkongsi maklumat dalam pembentangan bertemakan `Memasyarakatkan Teknologi’ dan menyampaikan perkembangan dan hala tuju universiti serta inisiatif UMP dalam memperkenalkan inisatif MyGift sebagai dana universiti.

Menurut Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir, untuk  menjadi pemain global yang kompetitif, UMP sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa dengan memperkenalkan program kejuruteraan yang sentiasa ditambahnilai melalui proses penanda aras secara berterusan menggunakan model bertaraf dunia seperti program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Science (HsKA) Jerman.

 

“UMP terus mendapat kepercayaan pihak institusi Jerman, HsKA Jerman dalam menjalinkan hubungan kerjasama akademik dalam program kejuruteraan bertaraf dunia. Kesinambungan daripada usaha kejayaan dalam program dwiijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Automotif dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik kini diperluas dengan penawaran program dwiijazah sarjana dalam bidang kejuruteraan automotif yang boleh dimanfaatkan masyarakat di negara ini,” katanya.

Dalam program ini, Dato’ Dr. Daing turut berkongsi tentang program dwiijazah sarjana yang membuka lembaran baharu antara UMP dan HsKA bagi mengeratkan hubungan kerjasama strategik dan membuka peluang yang lebih meluas dalam bidang penyelidikan dan pembangunan akademik kedua-dua universiti. Program ini bakal membuka lebih banyak peluang pelajar di negara ini untuk menjalankan penyelidikan dan inovasi serta berkongsi kepakaran  dalam bidang kejuruteraan Jerman yang diiktiraf dunia. Ianya termasuklah dapat dimanfaatkan di kalangan jurutera industri, akademia serta pengamal  industri automotif di Malaysia.

UMP kini mempunyai seramai 1801 staf dengan 600 staf mempunyai latar belakang dalam industri termasuk 156 daripadanya mempunyai pengalaman lebih lima tahun pengalaman industri yang dapat memberi kelebihan dalam memahami keperluan industri.

Penganjuran Program CEO@Faculty yang dijalankan UMP turut berpeluang berkongsi pengalaman dan pengetahuan berkaitan dunia korporat bersama earha universiti bagi membentuk serta membimbing dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan serta pembangunan sahsiah secara holistik. Pada masa ini seramai tiga orang dilantik Kementerian Pendidikan Tinggi iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Ir. Azman Mohd, Pengarah Urusan Operasi Pulau Pinang Motorola Solutions, Dr. Hari Narayanan dan Ketua Setiausaha KPT, Tan Sri Dr Noorul Ainor Mohd. Nor.

Pencapaian pelajar UMP juga diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila seramai tiga orang pelajar UMP dianugerahkan Biasiswa Konfusian bagi mengikuti Program Mobiliti Bahasa Mandarin Musim Panas 2016 di Tianjin Universiti, China. UMP ialah satu-satunya universiti di Malaysia mendapat biasiswa Konfusian ini.

Justeru, dalam usaha melonjakkan mutu pendidikan tinggi negara dan pada masa yang sama keperluan terhadap universiti berdikari, UMP mengadakan beberapa inisiatif lain dalam mendapatkan pendapatan bagi pembiayaan termasuk endowmen,tabung dan program pengkomersilan dengan memperkenalkan Program MyGift UMP yang merupakan saluran sumbangan endowmen universiti bagi tujuan tajaan biasiswa, kemudahan prasarana kepada pelajar mahupun membudayakan semangat sukarelawan dalam membantu golongan yang memerlukan.

Sepuluh jenis endowmen atau tabungan yang dilaksanakan adalah Endowmen Kursi, Endowmen Biasiswa Pelajar, Endowmen Makmal/Kemudahan dan Endowmen Kecemerlangan manakala Tabung Ramadan, Tabung Masjid, Tabung Bencana, Tabung Wakaf, Tabung Komuniti dan Tabung Tidak Patuh Syariah. Program ini bakal diperkenalkan sebagai kemudahan kepada warga kampus dan alumni serta pihak luar terutamanya daripada industri mahupun syarikat untuk sama-sama menyumbang kepada tabung endowmen universiti.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Mohd Hilmey Mohd. Taib, Penaung Dewan Perniagaan Muslim Malaysia, Datuk Syed Omar Al Sagaff, Ketua Pegawai Eksekutif Widad Business Group, Dato’ Mohd. Rizal Mohd. Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas ICT Sdn Bhd, Izwan Hasli Ibrahim.   

Disediakan Unit Perhubungan Awam, Bahagian Komunikasi Korporat PNC