JHKK - Portal Rasmi

JABATAN HAL EHWAL KORPORAT & KUALITI
CORPORATE & QUALITY AFFAIRS DEPARTMENT

MAJLIS PELANCARAN PELAN STRATEGIK UMP 2016-2020

Pelan Strategik UMP 2016-2020 telah dilancarkan pada 17 Februari 2016 di Kompleks Sukan, UMP Kampus Gambang semasa Majlis Amanat Tahunan Naib Canselor UMP 2016. Pelan Strategik UMP 2016-2020 telah diumumkan kepada staf dan pelajar sebagai pandu arah kepada semua warga UMP untuk bergerak mencapai Visi dan Misi UMP.

Majlis ini telah dihadiri lebih 5000 warga universiti. Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dato’ Dr. Rosli Mohd. Yunus, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Mashitah Mohd. Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin  dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Madyasir Ahmad Basir. 

01

Pelan Strategik UMP 2016-2020 merupakan kesinambungan daripada tiga Pelan Strategik UMP sebelum ini yang dilaksanakan sejak penggagasan Universiti ini pada tahun 2002. Pelan Strategik UMP 2016-2020 yang bertemakan “Menjana Kegemilangan” merupakan fasa keempat dan terkini dalam merealisasikan visi terbaharu iaitu “Universiti Teknologi Terunggul”.

Pembentukan Pelan Strategik UMP 2016-2020 ini adalah sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak pada 7 April 2015 mempunyai 10 lonjakan dalam usaha untuk terus memperkasa sektor pendidikan tinggi negara.

02

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) atau PPPM 2015-2025 (PT) merupakan dokumen strategik yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (kini dipantau sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Tinggi) dan menggariskan hala tuju pendidikan tinggi negara untuk tempoh 11 tahun bermula dari 2015 sehingga 2025. Ini merupakan kesinambungan daripada kajian semula Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) 2007-2020 serta penyelarasan PPPM (Prasekolah hingga Pendidikan Lepas Menengah) 2013-2025 yang bertujuan untuk meningkatkan dan memartabatkan sistem pendidikan tinggi negara.

03

Pada masa yang sama, Pelan Strategik UMP 2016-2020 turut dijajarkan dengan agenda semasa kerajaan iaitu Gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan (GTP) Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (MKRA).

Pendekatan pembaharuan telah dilaksanakan oleh UMP dalam menjayakan Pelan Strategik UMP 2016-2020 iaitu Pengenalan Lonjakan Strategik Menggantikan Bidang Keberhasilan Utama Universiti (University Key Result Areas-UKRA) dengan pembangunan beberapa Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicator (KPI) yang menggabung jalin keperluan prestasi lonjakan PPPM (PT) dan pencapaian objektif strategik UMP. UMP telah mengenalpasti lima (5) lonjakan bagi pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2016-2020 iaitu:

  1. Keunggulan Akademik
  2. Kelestarian Kewangan
  3. Keunggulan Penyelidikan & Inovasi
  4. Kemampanan Sosio-ekonomi Dan Persekitaran
  5. Keunggulan Jenama

 04